Sunday, November 18, 2018

BBM3410/18: Joget Lambak

Selepas berpuas hati dengan video pertama yang kami hasilkan, tiba pula masa untuk video yang seterusnya iaitu, Video One Shot Two Layer. Perbincangan telah diadakan dengan ahli kumpulan untuk menentukan lagu dan cara kami nak menghasilkan video itu.

Sebenarnya, saya pun tiada idea dan kurang faham dengan maksud two layer. Rakan-rakan lain telah membantu memberikan penjelasan. Kami juga sukar mengadakan perjumpaan sebab masing-masing sangat sibuk dengan PITA. Banyak lagu dicadang tetapi pada akhirnya kami memilih lagu yang rancak sikit iaitu Joget Lambak oleh Adam.

Disebabkan ada ahli kumpulan yang pulang ke kampung pada hari minggu, kami terpaksa mengadakan latihan pada sebelah petang dan merakam video pada waktu malam. Lokasi yang kami pilih ialah Sanggar Bahasa, FBMK. Saya sangat bangga kerana saya bukannya seorang penari tetapi ini kali pertama saya membuat koreografi untuk sebuah lagu Melayu.

Nantikan video kami pada hari Isnin ini. Hehehe. Jumpa lagi.


Selepas rakaman video. 


Sesi latihan di Kolej Serumpun. 

Syed jadi 'make up artist'. (MUA) 





Thursday, November 15, 2018

BBM3410/18: Tutorial Menggunakan Adobe Photoshop



Jom tengok video mengenai Adobe Photoshop yang tak seberapa ini. Hari ini kelas tutorial telah dibatalkan. Jadi, Prof telah berikan tugasan secara online. Mengikut ketua kelas, kuliah secara online ini akan bermula pukul 12 tengah hari. Kami tabah menunggu tetapi tiada arahan di Putrablast. Selepas itu, ketua kelas sampaikan pesanan mesra yang berunsurkan tugasan kepada kami.

Setiap orang harus menyediakan video yang melibatkan proses penggunaan Adobe Photoshop selama 3 minit dan masukkan dalam blog masing-masing. Saya pun telah minta bantuan sahabat baik saya, Goh untuk merakam video saya ini yang menunjukkan cara kita memadam 'background' sesuatu gambar.

Pada mulanya, saya nak membuat video tentang cara membuat kalender tetapi masa yang diperuntukkan itu memang tak cukup. Oleh itu, saya telah membuat video ala tutorial supaya semua faham cara nak padamkan 'background' sesuatu gambar.

BBM3410/18: Twitter

Ahhhhh.. Saya rasa semua tahu dah saya nak bicara tentang apa hari ini. Tajuk pun dah sangat jelas dah. Twitter merupakan antara media sosial yang harus kami semua gunakan untuk berkomunikasi dengan semua rakan-rakan sekelas dan juga menjadi tempat semua meluahkan perasaan masing-masing.

Secara jujurnya saya bukannya peminat tegar Twitter tetapi saya berpendapat Twitter ini sebenarnya mempunyai peranan yang sangat penting dalam menyampaikan sesuatu maklumat kepada kita semua. Selain itu, saya rasa berita-berita rasmi oleh pihak kerajaan sememangnya sangat cepat dikemaskini dalam Twitter.

Di samping itu, dapatlah saya membaca luahan hati rakan-rakan dan yang paling saya suka adalah kata-kata hikmat yang dikongsikan oleh mereka. Saya telah 'retweet' beberapa perkongsian mereka dan juga 'tweet' beberapa perkara dan isu dalam Twitter. Saya sertakan semua gambar tweet dan retweet saya di bawah ini.










BBM3410/18: Persembahan Video One Shot

Prof Dr. Normaliza menyuruh kami membuka video kumpulan masing-masing sebelum beliau masuk ke dalam kuliah. Semua sudah siap sedia untuk menonton hasil video one shot daripada semua kumpulan. Kumpulan kami adalah Panglima Awang dan kami risau sikit sebab lagu yang kami pilih tak rancak seperti kumpulan itu.

Dalam kerisauan itu, saya terhibur menonton semua video one shot kumpulan lain. Hahahaha, memang seronok sangat sebab dapat menyaksikan gelagat kawan-kawan yang selama ini pendiam, tetapi terbongkar perangai dan kemahiran sebenar mereka dalam video. Tiba pula giliran kami untuk mempersembah video kami. Tajuk lagu adalah Hajat oleh Hael Husaini.

Prof memberi komen bahawa video kami sangat gelap. Memang lokasi kami yang pilih (black box) gelap, tetapi semasa merakam video sangat jelas. Mungkin masalah teknikal menyebabkan video kami itu kelihatan gelap dan semasa proses 'editing' video itu mengurangkan resolusi video kami. Walau bagaimanapun, Prof memuji kumpulan kami sebab idea yang menarik dan kreatif.

Selepas itu, Prof memberi penjelasan mengenai tugasan video seterusnya iaitu Video One Shot Two Layer. Pada akhir kuliah, beliau memberikan tugasan berkumpulan dalam buku BOOM with Social Media.


BBM3410/18: Hari Kedua Deepavali

Hari kedua ini memang kerja saya nak pergi rumah terbuka Deepavali dan cari makanan. Hehehehe. Kebetulan kawan saya ajak ke rumah dia untuk makan tengah hari di Tambun, Perak. Selepas itu, saya pulang ke rumah semata-mata nak menonton filem Tamil baru kegemaran saya iaitu 'Ratsasan'. Filem ini antara filem 'serial-killer' atau 'psycho' yang penuh dramatik.

Satu perkara menarik semasa perayaan Deepavali ialah program-program dalam televisyen yang sangat menghiburkan. Di samping itu, kami sekeluarga juga layan tetamu yang datang ke rumah. Pada sebelah petang, seperti biasa saya pergi ke kedai kopi kegemaran saya bersama rakan-rakan.

Kami membuat perancangan untuk menonton filem baru di pawagam yang berjudul 'Sarkar'. Makan malam itu macam biasa pergi rumah terbuka. Selepas makan malam, kami terus bergerak ke pawagam untuk menonton filem baru itu. Bukannya nak sangat menonton filem itu, tetapi kami nak sangat meluangkan masa bersama kerana tidak lama berjumpa. Persahabatan ini antara perkara menarik yang diberikan oleh Tuhan kepada saya.


Di pawagam TGV Klebang, Ipoh. 


Makan malam di rumah kawan, Laknes. 


Rumah terbuka Deepavali di Tambun, Ipoh. 


BBM3410/18: Hari Pertama Deepavali Bersama Keluarga dan Rakan-Rakan

Untuk pengetahuan anda semua, Deepavali disambut untuk meraikan kemenangan kebaikan ke atas kebaikan menurut Hinduisme. Oleh itu, kami sebagai penganut agama Hindu sememangnya akan menyambut perayaan ini untuk mengingati peristiwa tersebut.

Mandi minyak adalah wajib pada hari Deepavali. Memang tak suka mandi minyak ini tetapi emak ada pendapat beliau sendiri iaitu setahun sekali sahaja. Selepas mandi minyak, saya telah dapatkan restu daripada emak dan ayah sekali gus mendapatkan baju baru yang dibeli daripada mereka. Dapat jugalah angpau RM50. Boleh beli mercun guna duit itu.

Ia menjadi kebiasaan untuk kami sekeluarga pergi ke kuil pada hari Deepavali. Selepas itu, macam biasa makan tengah hari. Menunya adalah kari daging ayam belanda dan 'idli'. Idli ini makanan tradisional orang India dan rasanya sangat sedap kalau dimakan dengan kari.

Selepas itu, saya menjemput rakan-rakan ke rumah saya. Semua berasa gembira sebab selepas beberapa bulan dapat berjumpa. Mereka menjamu biskut, murukku dan jus yang disediakan. Saya pergi bersama mereka ke rumah rakan-rakan yang lain sebab kami sangat rapat sejak sekolah rendah.
Pada waktu malam, kami sekeluarga bermain mercun dan tidur awal sebab hari pertama selalu memenatkan.


Gambar keluarga saya. Ada lagi yang tak dapat pulang. 


Bersama guru dan kawan-kawan. 


Rakan-rakan yang datang ke rumah saya. 


Masakan oleh rakan baik saya, Vijay. 



BBM3410/18: Sehari Sebelum Deepavali

Suasana di rumah memang dah hangat. Saya memang suka buka lagu Tamil kuat-kuat masa ini sebab baru ada motivasi nak buat kerja untuk sebelum Deepavali. Tambah pula, abang dan kakak yang pulang ke rumah sempena Deepavali. Mereka pun turut sekali mengemas rumah, Di samping itu, kami sekeluarga dapatlah berborak sesama kami setelah lama tak jumpa.

Selepas kebanyakan kerja dah siap, saya dan rakan-rakan saya keluar pula ke kedai kopi. Kalau awak semua pergi ke Instagram saya, saya ada muat naik satu gambar menyatakan teh tarik paling sedap di Sungai Siput boleh dapat di situ. Bukan sahaja itu, pelayan di kedai kopi itu sangat rapat dengan kami sebab kami pelanggan setia. Walaupun berlainan bangsa, semangat kekitaan tetap ada sesama kami.

Selepas minum teh tarik di situ, kami pulang ke rumah masing-masing untuk sambung kerja. Ayah, emak, abang, kakak ipar dan kakak telah keluar ke Ipoh. Jadi, saya seorang terpaksa gantung dan lekat semua hiasan-hiasan berkaitan Deepavali di hadapan rumah. Lampu kelip-kelip itu memang wajib kena ada.

Sebelum tidur, saya membantu kakak saya untuk membuat 'kolam' di depan rumah. Setiap tahun, kakak saya akan menyediakan corak yang baharu dan memang tetamu yang datang ke rumah akan memuji hasil seni kakak saya itu. Saya tumpang ambil gambar sahaja. Hahahaha.


Ini 'kolam' yang dihasilkan oleh kakak saya sempena perayaan Deepavali


Murukku, achi murukku, biskut dan beberapa jenis manisan. 


BBM3410/18: Facebook

Ini mungkin post yang terakhir yang berkenaan kuliah BBM3410 Multimedia dalam Bahasa. Terima kasih Prof. Dr. Normaliza atas segala nasihat d...